DIMANA HARGA SEORANG WANITA
Hingga kini dunia islam bagai hilang punca,
tertanya-tanya apakah jalan keluar sebenarnya bagi krisis kemanusiaan seperti
pembunuhan, rompakan dan rogol? Mengapa masalah itu timbul? Jawabnya tidak lain
adalah kerana insannya tidak dibangunkan. Selama ini yang dititik beratkan
hanya pembangunan fizikal dan material.
Akhirnya materialnya maju tetapi manusia hidup kalau
tidak seperti haiwan, tak ubahnya seperti syaitan!
Ittaqullah! Takutlah kamu kepada Allah! Di antara tanda-tanda
Hari Kiamat semakin hampir adalah kebanyakan wanita yang berpakaian tetapi
hakikatnya telanjang! Seperti yang diriwayatkan dari Abu Hurairah RA : “Di
antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah akan muncul pakaian-pakaian
wanita dan apabila mereka memakainya keadaannya seperti telanjang”.
Terjadinya huru-hara dan peperangan yang semakin parah
di dunia hari ini adalah bersumber dari jiwa manusia yang tidak didorong,
dipandu dan disuburkan untuk cinta dan takut pada Allah. Hati dan jiwa yang
jahat telah mencetuskan kekacauan yang berterusan. Walau ilmu tinggi melangit,
pengalaman berpuluh tahun, namun selama hati jahat, selama itulah manusia tidak
akan dapat mendamaikan dunia ini.
Mengapa manusia seolah-olah kembali kepada peradaban
penghambaan? Menjadi hamba kepada nafsu dan syaitan? Dalam sabda Nabi SAW:
“Sejahat-jahat musuh engkau ialah nafsu,
yang berada diantara dua lambung engkau”.(Riwayat Al Baihaqi)
SYAITAN
YANG KREATIF DAN KRITIS
Syaitan memiliki pelbagai cara strategi
dalam menggoda manusia, dan yang sering dieksploitasi sebaik-baiknya oleh
mereka adalah dengan memanfaatkan hawa nafsu yang memang memiliki kecenderungan
mengajak kepada keburukan. Syaitan tahu kecenderungan nafsu kita, dia terus
berusaha agar manusia keluar dari garis yang telah ditentukan Allah, termasuk
melepaskan hijab atau pakaian muslimah.
Mengapa muslimah (wanita islam) menjadi sasaran utama
syaitan?
Mungkin kita sering dengar di majlis-majlis agama, di
surau-surau, di masjid, di dewan, para ustaz, mubaligh, guru dan pensyarah
kerap menyatakan ungkapan ini, bahawa “kaum Lelaki mempunyai hanya 1 Nafsu
tetapi mempunyai 7 Akal. Manakala kaum kanita memiliki 7 Nafsu dan hanya 1
Akal”. Mungkin ada riwayat yang menyatakan hal ini tetapi pasti ianya hanya
bersifat mendidik manusia.
Jadi, kita bertanya bagaimana dan apakah strategi
syaitan menggoda muslimah?
Berikut adalah cara bertahap :
I.
Menghilangkan Definisi Hijab
Dalam tahap ini syaitan membisikkan
kepada para wanita, bahawa pakaian apapun termasuk hijab (penutup) itu tidak
ada kaitannya dengan agama, ia hanya sekadar pakaian, gaya hiasan atau fesyen
ikutan bagi para wanita. Jadi tidak ada pakaian syar’i, dengan apa pun bentuk
dan namanya tetap pakaian. Sehingga akibatnya, ketika zaman telah berubah, atau
kebudayaan manusia telah berganti, maka tidak ada masalah pakaian mengikut
peredaran zaman.
Berbeza pula jika seorang wanita berkeyakinan, bahawa
hijab adalah pakaian syar’i (identiti keIslaman), dan memakainya adalah ibadah
bukan sekadar gaya ( fesyen). Biarpun hidup bila dan di mana saja, maka hijab
syar’i tetap dipertahankan.
Apabila seorang wanita masih bertahan dengan prinsip
hijabnya, syaitan tetap tidak putus asa. Syaitan akan beralih dengan strategi
yang lebih halus.
Caranya?
Pertama,
Membuka Bahagian Tangan
Telapak tangan mungkin sudah kebiasaannya terbuka,
maka syaitan membisikkan kepada para wanita agar ada sedikit peningkatan model
yakni membuka bahagian hasta (siku hingga telapak tangan). “Ah tidak apa-apa,
kan masih pakai jilbab dan pakai baju panjang? Begitu bisikan syaitan. Dan
benar si wanita akhirnya memakai pakaian model baru yang menampakkan tangannya,
dan ternyata para lelaki melihatnya juga seperti biasa saja. Maka syaitan
berbisik,” Tu.. tidak apa-apa kan?
Kedua,
Membuka Leher dan Dada
Setelah menampakkan tangan menjadi kebiasaan, maka
datanglah syaitan untuk membisikkan perkara baru lagi. “Kini buka tangan sudah
menjadi lumrah, maka perlu ada peningkatan model pakaian yang lebih maju lagi,
yakni terbuka bahagian atas dada kamu.” Tapi jangan sebut sebagai pakaian
terbuka, hanya sekadar sedikit untuk mendapatkan hawa, agar tidak panas.
Cubalah! Orang pasti tidak akan peduli, sebab hanya sebahagian kecil sahaja
yang terbuka.
Maka dipakailah pakaian fesyen terbaru yang terbuka
bahagian leher dan dadanya dari yang fesyen setengah lingkaran hingga yang
fesyen bentuk huruf “V” yang tentu menjadikan lebih terlihat lagi bahagian
sensitif lagi dari dadanya. Lelaki pula tidak kisah boleh melihat dan mengagak
bentuk dan saiz dada muslimah mengikut kesukaannya.
Ketiga,
Berpakaian Tapi Telanjang
Syaitan berbisik lagi, “Pakaian mu hanya gitu-gitu
saja, “cool”, jom cari fesyen atau bahan lain yang lebih bagus! Tapi apa ye?”
Si wanita berfikir. “Banyak fesyen dan kain yang agak tipis, lalu bentuknya
dibuat yang agak ketat biar lebih sedap/cantik dipandang. Bentuk badan kamu
ramping dan kurus, kamu mesti serlahkan kecantikan agar lelaki tertawan
denganmu,” syaitan memberi idea baru.
Maka tergodalah si wanita, dicarilah fesyen pakaian
yang ketat dan kain yang tipis bahkan transparent. “Mungkin tak ada masalah,
kan potongan pakaiannya masih panjang, hanya bahan dan fesyennya saja yang agak
berbeza, biar nampak lebih feminin,” begitu dia menokok-nambah. Maka, pakaian
tersebut akhirnya menjadi budaya ikutan di kalangan wanita muslimah, semakin
hari semakin bertambah ketat dan transparent, maka jadilah mereka wanita yang
disebut oleh Nabi sebagai wanita kasiyat ‘ariyat (berpakaian tetapi telanjang).
Keempat,
Agak di Buka Sedikit
Setelah para muslimah mengenakan pakaian yang ketat,
maka syaitan datang lagi. Dan sebagaimana biasanya dia menawarkan idea baru
seperti “cool” dan “vogue”, dibisiki wanita itu, “Pakaian seperti ini membuat
susah berjalan atau duduk, soalnya sempit, bukankah sebaiknya dibelah hingga
lutut atau mendekati paha?” Dengan itu kamu akan lebih selesa, lebih kelihatan
lincah dan energetik.” Lalu dicubalah idea baru itu, dan memang benar dengan
dibelah mulai dari bahagian bawah hingga lutut atau mendekati paha ternyata
lebih selesa, terutamanya ketika duduk atau naik kenderaan. “Yah…. tersingkap
sedikit tak apa-apa lah, yang penting selesa dan simple,” katanya.
Inilah tahap-tahap awal syaitan merosak kaum wanita,
sehingga ke tahap ini pakaian masih tetap kekal dan panjang, hanya fesyen,
corak, potongan dan bahan saja yang dibuat berbeza dengan hijab syar’i yang
sebenarnya. Maka kini syaitan memulakan tahap berikutnya.
II.
Terbuka Sedikit Demi Sedikit
Kini syaitan melangkah lagi, dengan tipu daya lain
yang lebih “power” dan berani, tujuannya agar para wanita menampakkan bahagian
aurat tubuhnya dan kelihatan seksi.
Pertama,
Membuka Telapak Kaki dan Tumit
Syaitan Berbisik kepada wanita, “Baju panjang
benar-benar tidak selesa, kalau hanya dengan membelah sedikit bahagiannya masih
kurang selesa, lebih elok kalau dipotong sahaja hingga atas mata kaki.”
Ini baru agak longgar. “Oh…… ada yang yang terlupa,
kalau kamu pakai baju sedemikian, maka jilbab yang besar tidak sepadan lagi,
sekarang kamu cari jilbab yang kecil agar lebih serasi dan sepadan, ala…….
orang tetap menamakannya dengan jilbab.”
Maka para wanita yang terpengaruh dengan bisikan ini
terburu-buru mencari fesyen pakaian yang dimaksudkan. Tak ketinggalan kasut
tumit tinggi, yang kalau untuk berjalan, dapat menarik perhatian orang.
Kedua,
Membuka Seperempat Hingga Separuh Betis
Terbuka telapak kaki telah biasa ia lakukan, dan
ternyata orang yang melihat juga tidak begitu ambil peduli. Maka syaitan
kembali berbisik, “Terbukti manusia menyukai apa yang kamu lakukan, mereka
tidak ada reaksi apa-apa, kecuali hanya beberapa orang. Kalau langkah kakimu
masih kurang selesa, maka cubalah kamu cari fesyen lain yang lebih menarik,
bukankah kini banyak skirt separuh betis dijual di pasaran? Bukankah itu lebih
seksi dan menggoda siapa sahaja lelaki yang melihat?
Benar-benar bisikan syaitan dan hawa nafsu telah
menjadi penasihat peribadinya, sehingga apa yang saja yang dibisikkan syaitan
dalam jiwanya dia turutkan. Maka terbiasalah dia memakai pakaian yang terlihat
separuh betisnya kemana saja dia pergi.
Ketiga,
Terbuka Seluruh Betis
Kini di mata si wanita, zaman benar-benar telah
berubah, syaitan telah berjaya membalikkan pandangan jernihnya. Terkadang si
wanita berfikir, apakah ini tidak bertentangan dengan suruhan agama. Namun
bisikan syaitan dan hawa nafsu menyahut, “Ah zaman sudah berubah! Sekarang
zaman moden, mesti ikut perkembangan fesyen terkini, nanti orang gelar
ketinggalan zaman pula.”
Tetapi? Apakah itu tidak menjadi fitnah bagi kaum
lelaki.
Fitnah?
Ah…… itu kan zaman dulu, ketika itu kaum lelaki tidak
suka kalau wanita menampakkan auratnya, sehingga wanita-wanita mereka lebih
banyak di rumah dan pakaian mereka sangat tertutup. Tapi sekarang sudah
berbeza, kini kaum lelaki kalau melihat bahagian tubuh wanita yang terbuka,
malah senang dan mengatakan “ooooh!” atau “wow! hot girl”, bukankah ini bererti
sudah tidak ada lagi fitnah, kerana sama-sama suka?
Lihat saja fesyen pakaian di sana-sini, dari yang di
pasar malam hingga yang berjenama di pusat membeli belah, semuanya memperagakan
fesyen yang dirancang khusus untuk wanita moden di zaman ini. Kalau kamu tidak
mengikutinya, akan menjadi wanita kampung.
Demikianlah, maka pakaian yang menampakkan seluruh
betis akhirnya menjadi kebiasaan, apalagi ramai yang memakainya dan sedikit
sekali orang yang mempersoalkannya. Kini tibalah saatnya syaitan melancarkan
tahap terakhir dari tipu dayannya untuk melucuti hijab wanita.
III.
Serba Mini
Setelah pakaian yang menampakkan betis menjadi pakaian
seharian dan dirasa biasa-biasa saja, maka datanglah bisikan syaitan yang lain.
“Pakaian memerlukan variasi, jangan yang itu-itu saja, sekarang ini fesyen
skirt mini, dan agar sepadan, rambut kepala harus terbuka, sehingga benar-benar
kelihatan indah.”
Maka akhirnya skirt mini yang menampakkan bahagian
bawah paha dia pakai, bajunya pun bervariasi, ada yang terbuka hingga lengan
tangan, terbuka bahagian dada sekaligus bahagian punggungnya dan berbagai
fesyen lain yang serba pendek dan mini. Koleksi pakaiannya sangat beraneka
ragam, ada pakaian untuk berpesta, bersosial, pakaian kerja, pakaian rasmi,
pakaian malam, petang, dan lain-lain, tak ketinggalan seluar pendek separuh
paha pun dia miliki, fesyen dan warna rambut juga ikut bervariasi, semuanya
telah dicuba.
Begitulah sesuatu yang sepertinya mustahil untuk
dilakukan, ternyata kalau sudah dihiasi oleh syaitan, maka segalanya menjadi
serba mungkin dan diterima oleh manusia.
Hingga suatu ketika, muncul idea untuk mandi di kolam
renang terbuka atau mandi di pantai, di mana semua wanitanya sama, hanya dua
bahagian paling ketara saja yang tersisa untuk ditutupi, kemaluan dan buah
dada. Mereka semua mengenakan pakaian yang disebut “bikini”. Kerana semuanya
begitu, maka harus ikut begitu, dan na’udzubillah bisikan syaitan berhasil,
tujuannya tercapai, “Menelanjangi Kaum Wanita.”
“Selanjutnya terserah kamu wahai wanita, kalian semua
sama, telanjang di hadapan lelaki dan di tempat umum. Aku berlepas diri kalau
nanti kelak kalian sama-sama di neraka. Aku hanya menunjukkan jalan, engkau
sendiri yang melakukan itu semua, maka tanggung sendiri semua dosamu” Syaitan
tak ingin ambil risiko.
PENUTUP
Demikian halusnya cara yang digunakan oelhsyaitan,
sehingga manusia terjerumus dalam dosa tanpa terasa dan tidak perasan. Maka
hendaklah kita semua, terutamanya orang tua jika melihat gejala menyimpang pada
anak-anak gadis dan para wanita, bersegeralah diambil tindakan. Jangan biarkan
berlarutan, kerana kalau dibiarkan dan telah menjadi kebiasaan, maka akan
menjadi sukar bagi kita untuk mengatasinya.
Mencegah lebih baik daripada merawat.
Membiarkan mereka membuka aurat bererti merelakan
mereka mendapatkan laknat Allah, kasihanilah mereka, selamatkan para wanita
muslimah, jangan jerumuskan mereka ke dalam kebinasaan yang menyengsarakan,
baik di dunia mahupun di akhirat.
Sumber: http://muslimdoktor.blogspot.com/